as'salam wat suma pengunjung ituaku@mel..
N3 kali nih just nk cerita satu post dr harian metro 18 Apr 2011..
yg wat aku tertarik..
meh jemput sesame bace meh...
KEHIDUPAN remaja penuh pancaroba. Ada juga yang mengatakan kehidupan  remaja penuh warna-warni. Bagaimanapun, remaja perlukan bimbingan dan  motivasi untuk terus meningkatkan kejayaan dalam pelajaran demi mengejar  cita-cita yang diimpikan.
Kebanyakan remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun sering  terperangkap dengan angan-angan, cinta dan khayalan. Manakala remaja  perempuan pula sering terperangkap dengan masalah cinta dan kematangan.  Mereka yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat menumpukan sepenuh  perhatian terhadap pelajaran.
Dalam tempoh usia ini juga kebanyakan remaja mudah terjebak dengan  pelbagai gejala sosial yang menjerumuskan mereka ke arah keburukan.  Bermula dengan berkenal-kenalan melalui perbualan telefon dan facebook,  akhirnya mereka mudah terikut dengan pengaruh kawan dan terbabit dengan  pergaulan bebas serta gejala sosial.
Justeru, remaja perlu mengekalkan dan mengawal minat mereka ke arah  perkara yang bermanfaat dan lebih baik untuk diri dan keluarga. Melalui  minat   bermanfaat yang dipupuk sejak kecil seseorang itu dapat  mengembangkan minat dan kecenderungan hingga dewasa. Minat yang baik  seperti membaca, melukis dan bermain alat muzik   dikatakan dapat  mengisi kekosongan dan menghaluskan jiwa.
Kajian ahli  psikologi pendidikan H W Bernard dalam bukunya Psychology of Learning  (1965), menyatakan remaja perlu mendapat sentuhan motivasi iaitu proses  ke arah membangkitkan, mengekalkan dan mengawal minat.
Oleh itu, melalui motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan manusia  mengubah sikap, minat atau kegiatannya ke arah kebaikan. Ia dapat  menghindarkan seseorang remaja terjebak dalam perkara   tidak baik dan  tidak mendatangkan faedah. Sebagai contoh, bidang sukan dan permainan  dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.
Menurut pakar pendidikan Sharifah Alwiah Alsagof, motivasi juga  dikatakan sebagai perangsang  tindakan terhadap sesuatu tujuan yang  dulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut  menjadi bertambah minat. Oleh itu, motivasi penting ke arah mencapai  suatu matlamat tertentu, termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah laku  seseorang.
Sesetengah ahli psikologi mengklasifikasikan  motivasi kepada motivasi fisiologi (misalnya, keperluan asas manusia  seperti makanan, minuman, seks dan sebagainya) dan motivasi sosial  (misalnya, berharap mendapat reputasi dan keuntungan). Ia terbahagi  kepada dua iaitu motivasi asas yang bersifat semula jadi dan motivasi  dibentuk daripada pembelajaran.
Kajian menunjukkan bahawa keperluan sosial manusia meliputi keperluan  mencapai kecemerlangan, pergaulan sosial, autonomi, pemeliharaan dan  perlindungan, mempengaruhi dan mengawal orang lain, menunjukkan  kebaikan, peraturan dan kekemasan dalam sistem organisasi, hiburan,  rekreasi dan keselesaan yang memerlukan motivasi.
Di sebalik  kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih ada pelajar yang  kurang cemerlang dan merosot keputusannya. Sepatutnya, sekolah sudah  dapat mengenal pasti kumpulan ini.  Kalangan pelajar dari sekolah yang  pencapaiannya kurang cemerlang, kurang baik dan tidak memuaskan  seharusnya diberikan motivasi.
Justeru, pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM, diberi  kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya juga seharusnya memberikan  semangat, kata-kata rangsangan, motivasi serta kaedah belajar yang  berkesan dan bergaul dengan mereka yang kurang cemerlang.
Ahli  keluarga dan saudara-mara pelajar yang kurang cemerlang juga wajar  memberikan kata-kata semangat dan rangsangan kepada mereka supaya terus  berusaha untuk mencapai kejayaan.  Dorongan dan kata-kata motivasi dapat  meningkatkan semangat mereka dalam pelajaran. Kegagalan dalam  peperiksaan bukan  bermakna berakhirnya suatu kehidupan. Banyak mereka  yang gagal dalam peperiksaan berjaya mencipta masa depan dalam bidang  lain seperti bidang perniagaan.
Kata-kata motivasi dapat membangkitkan semula semangat dan bangkit  daripada kegagalan untuk mencipta kejayaan yang baru. Napoleon Hill  pernah berkata, apabila anda mempersoalkan kegagalan, sama dengan anda   mengundang kegagalan dan apabila anda mempersoalkan kejayaan bererti  anda akan mengundang kejayaan pula.
Menurut pandangan Babara  Cartland, janganlah anda menyesali kegagalan yang anda alami dengan  menuduh orang lain, tetapi akui dengan sungguh-sungguh kegagalan itu  adalah akibat perbuatan anda sendiri. Sebagai motivasi Robert H Schuller  menyatakan, kegagalan tidak bererti kita mensia-siakan hidup, tetapi  bererti kita perlu mulai lagi dengan cara lain dan lebih giat serta  penuh kesabaran.
Begitulah cara mengatasi kegagalan dalam  kehidupan. Kebijaksanaan lebih banyak belajar daripada kegagalan bukan  daripada kejayaan. Kegagalan juga mengajar kita untuk mencapai kejayaan  seterusnya.
Setiap remaja memerlukan motivasi dalam mencapai cita-cita terutama  mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, remaja juga  mempunyai semangat yang kuat, usaha gigih, tenaga yang mampu untuk  bersaing dalam dunia globalisasi bagi menentukan kejayaan seterusnya.  Minat yang mendalam dalam sesuatu bidang boleh diasaskan dan dicetuskan  melalui motivasi   berterusan.
Kebanyakan pelajar yang gagal  dalam pelajaran adalah disebabkan hilang fokus dan minat ke arah  pelajaran. Beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku antaranya  kurang motivasi daripada ibu bapa, keluarga, rakan sebaya, guru-guru dan    persekitaran yang tidak menggalakkan.
Melalui motivasi  iaitu proses dalaman   menimbulkan perubahan tingkah laku seseorang.   Sekiranya perubahan tingkah laku itu yang ditimbulkan oleh motivasi  berpusat pada suatu aktiviti dan aktiviti itu dapat menghasilkan  kepuasan, seseorang individu akan meneruskan aktiviti tersebut secara  berulang-ulang seperti pembacaan, penulisan dan reka cipta.
Dalam konteks pendidikan, naluri ingin tahu merupakan motivasi. Oleh  itu melalui naluri ingin tahu menjadi  penggerak penting yang amat  bernilai untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Naluri ingin tahu dalam diri  kanak-kanak lahir secara semula jadi dan harus dipupuk hingga dewasa.
Motivasi    berlandaskan naluri ingin tahu adalah ditimbulkan daripada rangsangan  dalam persekitaran. Sikap, harapan dan aspirasi seseorang pula  mempengaruhi motivasinya. Strategi pengajaran dan pembelajaran juga  penting untuk mewujudkan motivasi. Kesediaan belajar banyak bergantung  pada motivasi yang sesuai dan penting untuk menggerakkan pembelajaran.
Lantaran  itu, Islam juga menggalakkan motivasi dalam melaksanakan setiap ibadah.  Melalui rangsangan dan semangat yang gigih, ibadah dapat dilakukan  dengan baik dan sempurna serta berterusan. Kesabaran ibu bapa juga  penting dalam melaksanakan penerusan motivasi dalam diri seseorang anak  berkaitan dengan pelajaran dan ibadah. Oleh itu, motivasi penting dalam  kehidupan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.
 



2 comments:
papa khai..aina share kt fb ek =)
@misnanarizal..
okies..
Post a Comment